Bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diperintah oleh Mahkamah Rayuan membayar RM100,000 sebagai kos selepas rayuannya dalam saman fitnah terhadap Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman ditolak oleh mahkamah itu.

Panel tiga hakim terdiri Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dan Hakim Datuk Hasnah Mohammed Hashim membenarkan rayuan Anifah bagi jumlah kos perundangan lebih tinggi untuk prosiding di Mahkamah Tinggi.

Panel itu memberikan RM100,000 sebagai kos kepada Anifah bagi prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Peguam mewakili Anifah, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon RM100,000 sebagai kos bagi prosiding di Mahkamah Tinggi kerana menurutnya perbicaraan berlarutan selama lapan hingga sembilan hari dan mereka perlu memanggil beberapa saksi untuk memberi ketrangan dalam perbicaraan itu.

Mahkamah Tinggi hanya memberikan RM20,000 sebagai kos.

Beliau juga memohon RM50,000 lagi sebagai kos bagi prosiding di Mahkamah Rayuan selepas panel itu menolak rayuan Anwar terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak tuntutan samannya terhadap kenyataan Anifah pada sidang media di Washington, Amerika Syarikat pada 2009.

Peguam mewakili Anwar, Razlan Hadri Zulkifli dalam hujahnya berkata adalah terletak pada budi bicara hakim Mahkamah Tinggi untuk memberikan kos, dan menurutnya keputusan hakim tidak patut diganggu.

Terdahulu, Umi Kalthum memutuskan rayuan Anwar tidak mempunyai merit.

Anwar, 69, menyaman Anifah, mendakwa kenyataan menteri itu pada sidang media bersama-sama dengan Setiausaha Negara Amerika ketika itu Hillary Clinton di Jabatan Negara di Washington telah mencemarkan imejnya.

Kenyataan tersebut telah disiarkan dalam laman web Jabatan Negara Amerika pada 14 Mei, 2009, dan dua hari kemudian, akhbar The Star di Malaysia telah menerbitkan artikel itu berdasarkan kenyataan Anifah pada sidang media yang sama.

Pada 29 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak saman fitnah dikemukakan Anwar selepas memutuskan Mahkamah Tinggi di Malaysia tidak mempunyai bidang kuasa bagi kes di luar Malaysia.

Anwar, yang juga bekas anggota Parlimen Permatang Pauh sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada Jun 2008.

Mahkamah Persekutuan menangguhkan penghakiman berhubung permohonannya bagi semakan semula sabitannya.

Di luar mahkamah, Razlan Hadri memberitahu pemberita beliau akan mendapatkan arahan daripada anak guamnya sama ada mahu membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan. - Bernama