Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) akibat kegiatan perdagangan mata wang asing, sejumlah kira-kira AS$10 bilion (RM44 bilion), sekitar 1990-an, hari ini menerima keterangan daripada dua bekas pegawai bank pusat itu.

Dua saksi berkenaan adalah bekas Pengurus Jabatan Akaun BNM, Abdul Aziz Abdul Manaf dan bekas Juruaudit Dalaman BNM, Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin.

Abdul Aziz telah memberi laporan dalaman mengenai kerugian BNM dalam transaksi mata wang asing dari 1988 hingga 1994 manakala Ahmad Hizzad merupakan antara individu dipertanggungjawabkan bagi melakukan audit kerugian itu secara khusus bagi tahun 1992.

Prosiding di Istana Kehakiman yang bermula pada 9 pagi itu didengari oleh panel dipengerusikan oleh Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Kha­lid, dijadual memberi keterangan kepada suruhanjaya pada pukul 2 petang ini.