Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi isu pemerdagangan manusia dan kubur di Wang Kelian, Perlis menjamin kedaulatan negara dan mengelak isu berbangkit yang boleh mengakibatkan sebarang persepsi negatif kepada negara.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun ia dikatakan lambat namun tidak terlambat untuk siasatan dijalankan.

"Selepas banyak laporan dibuat siasatan pun dilakukan dibuat oleh kita dan pihak di Thailand.

"Tetapi ada pihak rasa seperti ada asas kukuh mereka untuk rasa tidak puas hati, sebab itu menjejaskan imej negara, kedudukan dari segi ranking dan persepsi yang tidak begitu baik.

"Sebab itu walaupun lambat tetapi tidak begitu lambat," katanya semasa sidang media selepas Majlis Pelantikan Ahli RCI bagi isu pemerdagangan manusia dan kubur di Wang Kelian, Perlis di sini, pada Selasa.

Suruhanjaya tersebut ditubuhkan selaras dengan keputusan kerajaan pada 26 Oktober 2018 agar siasatan kejadian kes pemerdagangan orang dilaksanakan dalam skop yang lebih luas.

Jelas Muhyiddin, kementeriannya telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Timbalan Yang Di Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 29 Januari untuk melantik Ahli RCI.

Pada majlis tersebut, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai, bekas Ketua Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara Datuk Noorbahri Baharuddin dan pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Razali Ismail menerima watikah masing-masing.

Selain itu, turut menerima watikah, bekas Ketua Penyelidik, Jabatan Peguam Negara Datuk Junaidah Abdul Rahman, bekas Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussin dan bekas Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Dr Tan Seng Giaw.

Antara skop pelaksanaan RCI berkenaan adalah menjalankan siasatan (inkuiri) terhadap pegawai-pegawai penyiasat, saksi-saksi dan mana-mana individu yang difikirkan perlu dan menyiasat sama ada penambahbaikan telah dilaksanakan terhadap prosedur penguatkuasaan selepas kejadian

Pada Mei 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.