Pegawai Turus Cawangan Khas E6 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis Asisten Superintendan Wan Ahmad Hamirudeen Wan Ahmad hari ini mendedahkan wujudnya nombor akaun bank warga tempatan dalam bentuk dokumen yang dijumpai di kem pendatang tanpa izin (PATI) di Bukit Wang Burma pada 2015.

Saksi ke-19 itu memberi keterangan tersebut dalam Sesi Pendengaran Awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis.

Menurut Wan Ahmad, pihaknya bersama anggota Jabatan Siasatan Jenayah menaiki kawasan bukit berkenaan pada 23 Januari 2015 bagi mencari bahan bukti berkenaan wujud penempatan pendatang tanpa izin.

Jelasnya, sepanjang pendakian, beliau mendapati terdapat lima kem kosong yang dipercayai menempatkan pendatang tanpa izin.

“Sepanjang tempoh pendakian kami temui lima kem kosong dibiarkan, base 1, base 2 dan 3 dalam proses digunakan oleh sindiket. Base 4 yang dijumpai dengan khemah kanvas sudah dibakar dan kawasannya berselerak.

“Kem lima kami jumpa ketika kami turun ke bawah, di mana kem itu kosong dipercayai kem lama,” katanya ketika ditanya Pegawai Pengendali Saiful Hazmi Mohd Saad.

Jelasnya berdasarkan pemerhatian, kem nombor dua dan tiga dipercayai diguna semula oleh pendatang tanpa izin ekoran struktur yang masih utuh serta punca air (anak sungai) berhampiran kem tersebut.

Sebagai Koordinator bagi pengumpulan maklumat, beliau telah menganalisa beberap dokumen berupa nombor telefon serta akaun bank yang diserahkan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika melakukan pengeledahan di lokasi yang sama.

Wan Ahmad: Dalam tempoh tersebut saya terima dokumen buku dan helaian kertas dapat dari Pasukan Gerakan Am. Diserahkan kepada saya untuk pihak Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) menganalisis dan mengumpul maklumat bagi tindakan lanjut.

Pegawai Pengendali Saiful: Dokumen itu dianalisa?

Wan Ahmad: Hasil daripada analisis tersebut, terdapat beberapa penama dan nombor telefon dan nombor akaun bank sama ada Malaysia atau luar negara.

Wan Ahmad: Semua dalam dokumen. Daripada itu, kami dapat kesan ada satu akaun daripada
orang tempatan, Malaysia.

Pegawai Pengendali Saiful: Bank di Malaysia?

Wan Ahmad: Ya, bank Malaysia. Penama warga tempatan.

Bagaimanapun, ketika pegawai pengendali bertanya berkenaan maklumat warga tempatan terbabit, pihak media diarahkan untuk keluar daripada Sesi Pendengaran ekoran maklumat terbabit dikatakan sulit.

Sesi Pendengaran RCI Wang Kelian ditangguh dan disambung semula Mei depan.