Saksi keenam pada pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian akui diarah untuk tidak menyertai sebarang operasi pasca pengendalian kes tersebut bermula Mac 2015.

Penolong Pegawai Pemerintah, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), DSP S. Sivanganam berkata arahan itu dikeluarkan oleh Datuk Mohammad Nasir Ramli yang pada ketika itu merupakan Komander Briged Utara PGA.

Berkata pada hari kedua sesi pendengaran awam RCI tersebut, Sivanganam berkata beliau tidak mengetahui punca dan alasan mengapa arahan itu dikeluarkan.

“Seperti Tan Sri tahu, kalau ada sebarang arahan daripada pihak atasan, kita tidak akan persoal,” jawabnya merujuk kepada soalan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai yang bertanyakan apakah punca arahan itu dikeluarkan.

Sivanganam sebelum itu mendedahkan bahawa beliau telah menyediakan satu laporan insiden susulan pasukannya menjumpai kem penempatan sementara dan kubur di Bukit Wang Burma, Wang Kelian pada Januari 2015.

BACA: Diarah padam gambar, musnah kem

BACA: Mangsa dijanji gaji RM2,000

Menerusi laporan itu, Sivanganam mendedahkan bahawa beliau ada menerima panggilan daripada seorang penduduk tempatan yang dikenali sebagai Azim @ Aziz yang mengakui menjadi individu perantara kepada sindiket pemerdagangan manusia.

Malah, laporan Sivanganam itu turut mengaitkan penglibatan pihak berkuasa dalam aktiviti sindiket tersebut seperti soalan yang diajukan pegawai pengendali, Khairul Anuar Abdul Halim.

Pegawai Pengendali: Berdasarkan kenyataan awak, orang tengah ini akan jumpa pasukan penguatkuasa untuk menjayakan aktiviti ini. Dikenali sebagai Aziz atau Azim, dia ada premis kedai dan ada penyakit kulit.

Sivanganam: Ya.

Pegawai Pengendali: Dia pernah mengaku bahawa pihak berkenaan ambil bahagian?

Sivanganam: Maklumat ini diberikan oleh sumber saya. Dia maklumkan apa yang diberitahu oleh orang tengah jika ingin menjadi pemandu. Dia maklumkan kepada saya. Saya ke sana untuk sahkan individu itu. Saya perlu mengesahkannya. Saya tak boleh tanya sama ada dia terlibat atau tidak.

Susulan itu, beliau menyediakan laporan berhubung maklumat daripada sumber yang diterimanya dan laporan itu dihantar kepada beberapa pihak seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Komander Briged Utara, Ketua Polis Kedah dan Perlis, Unit Risikan Sempadan Kedah dan Perlis serta kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis dan Kedah.