Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar diarah untuk menghentikan siasatan berhubung penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis.

ASP Junaidy Md Saad yang memangku jawatan ketua bahagian tersebut pada 2015 memaklumkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bahawa arahan itu dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah (KPD) Padang Besar, Supt Rizani Che Ismail.

Katanya, arahan yang dikeluarkan pada Mac itu dibuat selepas beliau bersama KPD dan pegawai forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis masuk semula ke lokasi kejadian pada 6 Mac 2015.

“Pada 6 Mac, saya bersama dengan pasukan forensik IPK Perlis diketuai Inspektor Bahar dan pihak Cawangan Khas (SB); turut bersama KPD sendiri, naik semula ke tempat kejadian.

“Sebelum naik, taklimat dibuat oleh KPD di mana misi hari tersebut adalah untuk menggali satu struktur tanah dan mengesahkan ada mayat atau sebagainya.

“Kemudian saya bersama KPD dan forensik naik ke tempat kejadian,” katanya di hadapan RCI yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Beliau menambah, pada ketika itu, mereka sepasukan menggali sebuah struktur kubur sedalam lebih satu kaki dan menjumpai mayat.

Mereka kemudian mengambus semula kubur tersebut selepas mengambil gambar dan membuat penandaan forensik.

Ditanya apakah tindakan selanjutnya dilakukan, Junaidy akui tidak ada apa tindakan dilakukan sehinggalah kes tersebut diambil oleh polis dari Bukit Aman pada Mei 2015.

“Pada 8 Mac, saya terima arahan dari KPD Padang Besar di mana siasatan untuk kes ini tidak diteruskan dan menunggu arahan selanjutnya.

“Sehingga bulan Mei baru ada (tindakan lanjut). Saya dimaklumkan siasatan tidak diteruskan buat sementara waktu.

“Saya terima arahan daripada KPD Padang Besar sendiri. Mungkin dia (Rizani) terima daripada pihak atasan,” jelasnya.

Ditanya mengapa tidak ada sebarang inisiatif dilakukan beliau sebagai ketua bahagian siasatan jenayah daerah, Junaidy berkata kes tersebut memerlukan pasukan siasatan yang berskala besar.