Sebahagian komuniti internet, serta satu organisasi pemantau media, telah melemparkan kritikan terhadap kenyataan terbaru oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat menyokong penapisan internet.

Pegawai eksekutif Centre of Independent Journalism Masjaliza Hamzah hari ini menyifatkan penulisan Mahathir sebagai "mengelirukan".

"Makna beliau seperti tidak jelas apabila dia tidak membezakan antara posting peribadi di Facebook, penulis blog, dan laman web berita, dan video di Youtube. Dia juga meletakkan pornografi dalam kategori yang sama, " kata Masjaliza.

Masjaliza berpendapat bahawa Mahathir berasa kecewa dengan kehilangan “monopoli” kerajaan terhadap media massa yang boleh dikawal melalui perundangan dan pemilikan media.

“Orang seperti Mahathir juga mendapat faedah daripada kebebasan internet. Saya rasa aduan Mahathir lebih kepada kehilangan kebolehan orang berkuasa untuk menentukan apa yang orang baca,” katanya.

Masjaliza berkata bahawa undang-undang fitnah adalah mencukupi. Dia juga menyatakan majoriti kes-kes di mana pihak penerbitan telah didapati bersalah atas kenyataan salah merupakan media yang dikaitkan dengan kerajaan.

Walau bagaimanapun, blogger Datuk Ahiruddin Attan, yang lebih dikenali sebagai Rocky, berkata bahawa orang yang menyelar kenyataan Mahathir telah "sengaja" salah faham maksudnya.

"Sesiapa yang kritikal dan mengutuk dia salah faham kerana kita harus ingat bahawa dia ialah Perdana Menteri yang telah berjanji bahawa kerajaan tidak akan menapis internet dan saya fikir dia tidak akan memungkir janji itu," kata Ahiruddin.

Visi beliau tersebut telah membolehkan laman web seperti Malaysiakini, Themalaysianinsider dan Freemalaysiatoday, dan blog saya beroperasi tanpa apa-apa jenis lesen," katanya.

Ahiruddin teringat ketika pentadbiran Abdullah Badawi telah mendakwa beberapa blogger, Mahathir adalah orang yang mempertahankan kebebasan bersuara.

Beliau menegaskan bahawa Mahathir adalah konsisten dan tidak akan melakukan penapisan internet.

"Beliau hanya menyatakan bahawa 'ini adalah apa yang kita dapat untuk kebebasan yang tidak terkawal’' dan kita perlu menerima hakikatnya," katanya.

Ahiruddin berpendapat bahawa bekas perdana menteri itu cuba mengatakan bahawa seseorang itu perlu menggunakan minda semasa menggunakan internet.

Sementara itu, pengulas di Facebook dan Twitter turut mempersoalkan kenyataan Mahathir.

“Kebenaran tidak boleh disekat. Berani kerana benar takut kerana salah.” kata “AE Glory.