Tutup

Refarm nafi sumber air dicemari kandang babi

Refarm nafi sumber air dicemari kandang babi
Air yang telah disaring inilah yang akan digunakan bagi kolam mandian pengunjung. - Foto Astro AWANI
KAMPAR: Pusat rekreasi dengan tarikan perladangan di Perak, Refarm, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan di laman sosial bahawa sumber air bagi kegunaan kawasan tersebut terletak berhampiran dengan kandang babi.

Terdahulu, terdapat khabar angin di laman sosial Facebook yang mengatakan bahawa sumber air di pusat itu datangnya daripada kawasan berhampiran penternakan babi dan ia menjadi viral serta mendapat komen negatif netizen.
Pengarah Urusan, Patrick Liew berkata perkara tersebut amat memalukan pihak pengurusan dan membawa imej buruk kepada salah satu lokasi utama pelancongan negeri Perak itu.

“Sejak pembukaannya pada awal tahun 2015, pihak Refarm telah menggunakan air dari puncak bukit dan menggunakan operasi penapisan air secara sistematik iaitu Polypipe tertutup yang akan melalui tangki pemendapan dan terus ke penapis air.
“Air yang telah kami saring inilah yang akan digunakan bagi kolam mandian pengunjung, serta umum juga mengetahui air kolam kami tidak mempunyai klorin justeru tidak mungkin air itu tercemar seperti yang diuar-uarkan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di kawasan Pusat Rekreasi Refarm, Temoh, Kampar pada pagi Jumaat.

Katanya, pihaknya amat kecewa dengan tindakan sesetengah pihak yang menyebarkan fitnah bahawa terdapat kandang babi berhampiran Refarm malah longgokan najis manusia kelihatan di kolam mandian.

Pihak Refarm menggunakan sumber air dari puncak bukit sejak pembukaannya pada tahun 2015. - Foto Astro AWANI

Pemantauan berkala

Tegasnya, pihaknya tidak pernah menerima sebarang aduan mengenai perkara tersebut malah keseluruhan operasi Refarm dipantau oleh Majlis Daerah Kampar secara berkala dan mengikut piawaian yang betul.

Katanya, pusat yang baru beroperasi setahun jagung itu menerima sekurang-kurangnya 2,000 pengunjung pada cuti sekolah dan hujung minggu justeru pihaknya perlu memastikan reputasi dan kualiti pengurusan sentiasa terjaga.

“Kami amat mengalu-alukan kepada sesiapa atau mana-mana jabatan yang ingin melakukan kajian terperinci atau kajian ke atas sumber air kami yang terletak sekitar 1.5 kilometer dari tempat ini.

“Sekiranya terdapat lintah seperti yang didakwa maka kami sedia menerima aduan malah terbuka kepada maklum balas untuk memperbaiki pusat rekreasi ini,”ujarnya.

Jelas Patrick, pengurusan Refarm juga telah melakukan sebuah laporan polis di Balai Polis Temoh berhubung perkara tersebut pada 22 April lepas untuk membersihkan nama dan imej pusat rekreasi tersebut kepada orang awam.

“Kami sebenarnya tidak ingin menggembar-gemburkan perkara ini. Sekiranya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera maka ia amat baik, namun kami tidak akan mengambil sebarang tindakan.

“Mereka memberikan tuduhan dan memanipulasikan fakta dan ini sebenarnya satu tindakan yang tidak matang, justeru kami benar-benar berharap ianya tidak akan berulang,”katanya lagi.