Permintaan yang mendadak terhadap produk berasaskan isi kekabu merupakan faktor utama usahawan kekabuonlinedotcom menceburi bidang perniagaan ini.

Mengambil risiko besar membuat keputusan berhenti kerja, pengasasnya Nornathasha Mohd Isa atau lebih dikenali sebagai Kak Kabu kini antara usahawan online yang berjaya.

Permintaan pengguna terhadap produk tilam kekabu bayi rekaannya mendapat perhatian seluruh negara terutamanya di seluruh Semenanjung. Rekaan menarik, jualannya sebulan sahaja kini sudah mencecah 300 set tilam.

"Kalau dulu jualan saya seminggu dalam 120 set tilam bayi, kini boleh mencecah hampir 300 set sebulan. Permintaan memang mendadak," katanya dalam temubual bersama Astro AWANI, baru-baru ini.

Selain mempunyai kira-kira lima pengedar utama, Instagram kekabu "online dot com" sudah hampir mencecah 37 ribu pengikut.

Tambah Kak Kabu, pengusaha bantal kekabu jualan secara online masih boleh dikira dengan jari. Justeru, ini merupakan peluang besar untuk mencuba dan kini ia membuahkan hasil.

Rekaan unik dan pelbagai

Pastinya kepelbagaian jenis produk menjadi intipati utama dalam melariskan perniagaannya. Kak Kabu mengeksperimen dirinya sendiri dalam mencuba design baru produknya. Kekabu online dot com baru sahaja melancarkan produk barunya iaitu bantal ibu mengandung ataupun 'maternity pillow'. Ia dibuat berdasarkan permintaan pengguna yang ramai dan semakin mendapat tempat dalam pasaran.

Selain set tilam bayi dengan corak yang menarik, beliau sedang mencuba mencipta bantal karipap yang nipis dan lembut sesuai untuk bayi yang baru lahir. Bantal untuk menyusukan bayi atau nursing pillow turut dijual.

Kak Kabu
Antara corak bantal kekabu yang ditawarkan Kak Kabu. - Foto Astro AWANI/Nabihah Hamid

Berhenti kerja

Keputusan berhenti kerja tiga tahun lalu, merupakan keputusan yang tepat. Ia adalah untuk dirinya lebih fokus dalam perniagaan kekabu serta keluarga.

"Keputusan saya tepat, dan saya ambil risiko untuk memulakan perniagaan ini. Sebelum ini wang modal yang saya gunakan hanyalah bermula dengan RM500," kata usahawan wanita yang mempunyai Jurusan Diploma Pengajian Media dan Komunikasi UiTM ini.

Pasaran ke luar negara

Dengan kakitangan seramai lima orang, Kak Kabu sentiasa sistematik dalam menguruskan jualan secara online. Setiap minggu Kak Kabu dan suami akan ke nilai untuk membeli kekabu secara borong. Kak Kabu mempunyai visi yang besar.

Selain ingin membuka kedai dengan namanya sendiri, Kak Kabu sasar untuk menjual produknya ke luar negara.

"Sekarang ini banyak di semenanjung. Sabah dan Sarawak pun agak kurang kerana kos pengeposan yang tidak berbaloi. Tetapi saya ingin cuba memasarkan ke luar negara,"

Katanya, kekabu online dot com pernah mendapat tempahan dari luar negara namun ia bukan dari pelanggan dari Malaysia yang berada di negara asing.

Penjagaan kekabu

Katanya, produk berasaskan kekabu tidak sukar untuk dijaga. Hanya dengan menjemur, ia mampu mengelakkan kekabu bantal daripada berhabuk.

"Bukan sahaja tahan, dan selesa. Bantal atau tilam yang diperbuat daripada kekabu ini sangat mudah dijaga. Ia hanya memerlukan sinaran matahari," katanya.

Kekabu
Penjagaan bantal kekabu mudah, ia tidak perlu dibasuh kerana isinya akan bergumpal dan lebih berhabuk. Foto Astro AWANI/Nabihah Hamid
Namun, kekurangan kekabu ialah ia tidak boleh dibasuh kerana isinya akan bergumpal dan akan lebih berhabuk.