Pegawai dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) diberi tanggungjawab untuk mengawal lalu lintas semasa hari pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau tidak mahu tragedi pilihan raya umum (PRU) sebelum ini berulang.

“Rela bukan mahu ambil peranan polis sebaliknya, (pada waktu itu) warga polis sedang menjalankan tanggungjawab membuang undi awal.

“Kita tidak mahu lagi ada pihak yang menghalang kereta yang membawa pengundi seperti yang terjadi pada PRU lalu.

“Tidak ada pengundi hantu, tidak ada pengundi Bangladesh. Kita tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Rela Ke-46 Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, sumbangan anggota Rela itu akan mengurangkan beban yang digalas Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada hari pengundian, 9 Mei ini.

Ujarnya, cadangan yang diluluskan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim itu dikemukakan oleh Ketua Pesuruhjaya Rela, Zulkifli Abidin kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Lebih 5,000 anggota Rela seluruh Negeri Perak hadir pada sambutan yang diadakan di Waterfront Bagan Datuk.

Mengikut rekod 226,361 anggota Rela berada di seluruh Perak daripada keseluruhan 3.06 juta anggota di seluruh negara.