Remaja 18 tahun maut, pilih ambang 2018 untuk terjun pasar raya

Remaja 18 tahun maut, pilih ambang 2018 untuk terjun pasar raya
Orang ramai gempar selepas seorang remaja ditemui maut terjun daripada pasar raya di Taiping, Perak semalam. - Gambar Astro AWANI
TAIPING: Seorang remaja lelaki maut apabila terjatuh daripada sebuah pasar raya di Taiping, Perak pada ambang Tahun Baru semalam.

Mangsa, Lee Horng Chinhang Siew Chun,18, yang berasal dari Pokok Assam maut di tempat kejadian sebaik jatuh dari bangunan setinggi enam tingkat dalam insiden berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superitendan Razlam Ab Hamid berkata pihaknya menerima panggilan sekitar 8.25 malam berkenaan insiden tersebut.
“Setibanya polis ke lokasi kejadian, kami mendapati seorang lelaki berada dalam keadaan terlentang dan cedera teruk di semua bahagian badan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia dan pihak kami juga menjumpai sebilah pisau di tangan kanan manakala sebilah pisau lagi dijumpai berhampiran mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media. 

Jelasnya,siasatan lanjut mendapati mangsa  terjun dari tempat letak kereta di pasar raya berkenaan.

“Kami juga menemui sebuah kerusi yang digunakan oleh mangsa untuk memanjat tembok di tempat letak kereta pasaraya berkenaan sebelum terjun ke bawah.

“Turut ditemui, sebuah kereta Suzuki Swift warna biru milik mangsa di tempat letak kereta dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa memberhentikan kenderaannya dan keluar dari kereta sebelum masuk semula ke dalam keretanya.

“Selepas itu, mangsa tidak lagi kelihatan kerana dilindungi oleh tiang dan rakaman CCTV satu lagi menunjukkan mangsa telah jatuh di atas jalan tar di bahagian belakang pasar raya berkenaan,” tambahnya.
 
Menurut Razlam, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah mangsa alami pelbagai peringkat kecederaan berikutan terjatuh dari tempat yang tinggi.

“Setakat ini siasatan polis masih lagi diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian dan buat masa ini tiada unsur jenayah ditemui.

“Kejadian lebih menjurus kepada bunuh diri,” ujar Razlam.