Baru berusia 19 tahun, remaja ini tidak menyambung pengajian sebaliknya bekerja sebagai 'runner' sindiket pengedaran dadah.

Namun, kegiatan remaja terbabit sejak enam bulan lalu itu tidak bertahan lama apabila dia dicekup dalam serbuan di Jalan Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, hasil risikan selama sebulan, pihaknya mengesan aktiviti suspek yang sedang menunggu pengedar kecil di kawasan berkenaan.

Menurutnya, ketika ditahan, polis menemui 453 gram paket dadah dianggarkan bernilai RM15,000 di dalam sebuah beg silang berwarna hitam beserta wang tunai RM200.

"Kita percayai remaja yang ditangkap ini mempunyai rangkaian dengan sindiket dadah yang beroperasi di Klang.

"Kita boleh katakan dia berperanan sebagai 'runner' untuk mengedarkan dadah kepada kelompok kecil," katanya.

Tambah baharudin, saringan ujian air kencing mendapati, remaja terbabit juga positif penyalahgunaan dadah.

Katanya, suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.