Seorang remaja yang sedang memancing bersama dua rakannya cedera parah ditetak dalam kejadian samun di Pantai Robina, Teluk Ayer Tawar, Butterworth awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi tadi, mangsa berusia 17 tahun mengalami kecederaan pada tiga jari kanan, lengan kiri dan bahagian belakang badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa serta rakannya berusia 21 dan 24 tahun dikatakan sedang memancing di atas tembok di tepi pantai itu sebelum didatangi dua penyamun.

Menurut beliau, mereka memancing berdekatan sebuah restoran kira-kira jam 3.30 pagi sebelum didatangi dua lelaki yang menunggang motosikal jenis Honda Wave berwarna perak yang berpura-pura bertanya pada mangsa.

Bagaimanapun, tambahnya lagi, secara tiba-tiba pembonceng motosikal itu meluru ke arah mangsa dan melibas objek tajam dan panjang yang berwarna perak berkilat ke atasnya sehingga menyebabkan remaja itu cedera.

Suspek sempat melarikan barangan milik rakan mangsa iaitu beg berjenama kulit dan power bank dengan anggaran kerugian bernilai RM470.

Mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi mendapatkan rawatan.

Dua rakannya pula bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Polis masih mengenal pasti suspek dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.