Seorang remaja tempatan dipercayai dalang penyeludupan minyak petrol dicekup dalam satu serbuan di Pulau Kalapuan pada Sabtu.

Suspek yang baru berumur 16 tahun itu ditahan bersama 20 tong minyak yang disembunyikan di rumahnya tanpa sebarang permit.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, ketika menjalankan Operasi Bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Semporna di perairan Semporna, pihaknya menerima makluman risikan berhubung kegiatan terbabit.

"Susulan itu, sepasukan anggota dihantar ke rumah terbabit untuk menjalankan pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut bersama pegawai KPDNHEP Semporna di dalam rumah tersebut telah menemui 20 tong yang berisi lebih kurang 30 liter minyak petrol dalam setiap tong.

"Semuanya sejumlah 600 liter yang disyaki hendak diseludup ke negara jiran," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohamad Pajeri berkata, remaja yang mendiami rumah tersebut turut ditahan kerana gagal menunjukkan sebarang lesen pemilikkan atau menjual barang kawalan minyak petrol tersebut daripada pihak KPDNHEP.

"Suspek dan barang rampasan kemudian dibawa ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Semporna untuk siasatan lanjut.

"Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1,320 dan kes disiasat dibawah Seksyen 20 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3 Kawalan Bekalan," tambahnya.