Seorang remaja dihadapkan ke Mahkamah Khas Trafik, Georgetown atas tuduhan menunggang motosikal secara melulu sehingga mendatangkan kecederaan ke atas tiga anggota sukarelawan simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) pada malam tahun baru.

Aizat Abdul Rahman, 20, dari Sungai Nibong, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh juruhbahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, Aizat didakwa melakukan kesalahan itu di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, pada jam 4 pagi, 1 Januari 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan berhadapan dengan hukuman denda RM2,000 atau penjara enam bulan.

Majistret, Catherine Nicholas menetapkan 2 Februari ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan fakta kes.

Catherine juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwaraya, Asisten Superintenden Ahmad Padzli Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian pada malam tahun baru, baru-baru ini, tiga anggota sukarelawan simpanan polis terbabit yang terlibat dalam operasi membanteras samseng jalanan cedera selepas dirempuh sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Farid Al Atrash Wahid berkata, ketika kejadian, anggota polis terbabit sedang membuat sekatan jalanraya dengan memberhentikan sekumpulan penunggang motosikal.

Bagaimanapun, seorang penunggang motosikal cuba meloloskan diri dengan merempuh anggota polis yang sedang bertugas menyebabkan tiga anggota polis dari cawangan trafik ibu pejabat polis daerah Timur Laut cedera.