Ibarat syaitan bertopengkan manusia, seorang lelaki tergamak merogol anak perempuan tirinya yang berusia 14 tahun dua kali seminggu sejak tahun 2014 lagi, sebelum ditahan polis dalam kejadian di sebuah kampung berhampiran Tongod, Kinabatangan pada Khamis lalu.

Suspek, 47 tahun, ditahan kira-kira jam 1.30 petang Khamis oleh sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan yang membuat serbuan di sebuah rumah tidak bernombor berhampiran perkampungan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan A Sahak Rahmat berkata, perbuatan tidak bermoral suspek terbongkar susulan mangsa dan ibunya bertindak membuat laporan pada jam 11.35 pagi hari yang sama.

"Bertindak atas maklumat pengadu, kita kemudiannya membuat serbuan dan menahan suspek di kampung terbabit.

"Suspek lelaki berusia 47 tahun yang juga bapa tiri mangsa itu disyaki melakukan perbuatan (rogol) berkenaan sejak mangsa berusia 10 tahun lagi," katanya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata mangsa mendakwa bapa tiri melakukan perbuatan itu, dua kali seminggu antara 1 Januari 2014 sehingga 1 September tahun ini ditempat yang sama iaitu di tepi sungai berhampiran rumah suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana merogol.