Kegembiran tujuh rakan bermandi air terjun bertukar tragedi apabila salah seorang daripadanya maut selepas terjatuh dan lemas, pada pagi jumaat.

Dalam kejadian sekitar pukul 11.56 pagi itu, mangsa Shanjay Nair Vegan, 16, tergelincir di kawasan air terjun Lata Bukit Hijau sebelum dibawa arus.

Menurut Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Tuan Zamani Tuan Ismail, anggota bomba dari Balai Bomba Kulim bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan.

Dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat itu, Komander Operasi, kata beliau, melakukan pencarian menggunakan tali dan jaket keselamatan.

Tuan Zamani berkata, mangsa dijumpai pada pukul 1.20 petang dalam keadaan tertiarap di permukaan air tidak jauh dari tempat dia dilaporkan terjatuh.

Mangsa di sahkan telah meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia yang tiba di lokasi kejadian.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.