Seorang remaja berusia 18 tahun maut apabila motosikal ditungganginya merempuh belakang sebuah lori dalam kemalangan pada tengah malam tadi.

Dalam kejadian di Kilometer 14.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) di Rawang itu, mangsa sebelum itu sedang menunggang motosikal secara berkumpulan bersama rakannya.

Kesemua mereka dikatakan baru sahaja selesai makan malam di Shah Alam dan dalam perjalanan pulang ke Ijok.

Tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang lori.

Kemalangan menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan dan digilis kereta jenis Perodua Bezza yang tidak sempat mengelak dan mengheret motosikal mangsa sejauh 100 meter.

Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala.

Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk bedah siasat.