Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditemui maut di atas jalan sebelah bangunan pasar raya di sini, malam tadi.

Mangsa, Aldrich Wong Ping Hooi, ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah.

Menurut Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Mohamad Taib, pihak polis menerima maklumat mengenai insiden yang berlaku sekitar 10 malam itu daripada orang awam yang memberitahu seorang lelaki telah terjun daripada bangunan pasaraya itu.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa dalam keadaan tertiarap, dengan kesan darah di bahagian kanan muka serta kesan melecet di betis kiri dan paha kanan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa telah terjun dari tingkat empat bangunan tersebut, berdasarkan kereta milik mangsa yang ditinggalkan di tempat parkir kereta.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Taiping bagi bedah siasat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Mohamad Taib berkata bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan patah tulang leher dan belakang akibat jatuh dari tempat tinggi.