Kehidupan Norwaniza Jamaluddin, 37 tahun, sudah diduga sejak anaknya Mohamad Zainil Iqmal Mohd Zaini disahkan menghidap sindrom angelman dan cerebral palsy seawal usia enam bulan lagi.

Lebih menyayat hati apabila Mohamad Zainil Iqmal, kini berusia 15 tahun, lumpuh seluruh badan akibat diserang sawan dan demam panas ketika berusia 10 tahun.

Susulan kejadian itu, dia terpaksa menjalani pembedahan membuang separuh daripada tempurung kepalanya bagi mengelakkan komplikasi kepada otak.

Menurut Norwaniza yang ditemui di Taman Sri Cahaya, di sini, anak sulung hasil perkahwinan pertamanya itu kini memerlukan perhatian sepenuh masa selain perbelanjaan bagi menampung bekalan keperluan hariannya.

"Otak dia dah bengkak, tiada oksigen masuk kerana otak dah ketat. Mereka ambil keputusan untuk menjalankan pembedahan. Dia masuk ICU hampir dua bulan," kata Norwaniza.

Norwaniza yang mempunyai tiga lagi anak berkata, pada permulaannya doktor memaklumkan Mohamad Zainil Iqmal tidak mempunyai harapan untuk hidup setelah pembedahan tempurung kepala itu.

Bagaimanapun, dia bersyukur sehingga kini anaknya kuat meneruskan hidup walaupun terlantar dan hanya boleh minum susu menggunakan saluran tiub.

Katanya, dia dan suami yang tidak mempunyai pekerjaan tetap bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

"Sebulan, peruntukan susu dia kalau ikutkan, dalam 11 hingga 12 tin. Sebulan dalam 600 lampin pakai buang, itu masih tidak cukup," kata Norwaniza.

"Sebulan peruntukan untuk dia sahaja kira-kira RM1,300. Rawatan percuma," katanya menceritakan perbelanjaan yang perlu ditanggung untuk anaknya.

Dia yang menambah pendapatan dengan berniaga secara kecil-kecilan di rumah berkata, tiada apa yang lebih menggembirakan apabila dapat melihat anaknya itu kembali tersenyum semula.

"Ikut kata doktor, anak memang tiada harapan tetapi Alhamdulillah selepas lima tahun, dia mampu lagi kuat semangatnya.

"Daripada dia tak boleh senyum, Alhamdulillah kini dia boleh senyum dan ada sedikit respons," jelas Norwaniza.

Bagi keluarga ini, mereka mengharapkan jika ada yang sudi tampil memberi sumbangan kerusi roda untuk Mohamad Zainil Iqmal yang kini tidak lagi sesuai untuk digunakan.

Kepada anda yang ingin menghulurkan sumbangan untuk meringankan beban keluarga ini boleh berbuat demikian di nombor akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 08006-41-00003387-2 atas nama Norwaniza Jamaluddin atau nombor di talian 0165548956.