Seorang remaja perempuan kritikal selepas ditikam seorang lelaki, dipercayai teman lelakinya dalam kejadian di hadapan sebuah asrama pekerja di Lima Kedai, Gelang Patah, dekat sini, Khamis lepas.

Kejadian berlaku pada 8.48 malam ketika kedua-duanya dikatakan bertengkar sebelum suspek bertindak menikam mangsa beberapa kali menggunakan senjata tajam.

Berikutan tikaman itu, mangsa yang berusia 20 tahun dilaporkan cedera di perut dan tangan kiri dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah.

Timbalan Ketua Polis Daerah (Operasi) Iskandar Puteri, Supt Ismail Dollah berkata orang awam telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan gerakan mengesan suspek kemudian dilancarkan.

"Dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, suspek berumur 26 tahun itu akhirnya berjaya ditangkap di kawasan Bukit Mertajam pada 28 Jun pukul 4.40 petang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail berkata menerusi siasatan awal, suspek dan mangsa didapati bekerja di kilang sama iaitu di Tanjung Kupang di sini namun punca sebenar kejadian masih disiasat.

Suspek pula sudah direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.

-- BERNAMA