Seorang remaja lelaki dan rakannya ditahan polis selepas didapati menjerut leher dan menikam ibunya di daerah Samarahan, Sarawak.

Kedua-dua remaja terbabit, masing-masing berusia 15 tahun ditahan polis pada awal pagi Khamis selepas mereka sendiri hadir ke balai polis Kota Samarahan untuk menyerah diri.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar, remaja terbabit dikatakan menjerut leher ibunya yang berusia 43 tahun menggunakan tali pinggangnya manakala rakannya menikam perut wanita berkenaan menggunakan pisau dalam kejadian pukul 9 malam Rabu.

Pisau, pembaris
Ketika kejadian, mangsa sedang memandu kereta untuk pulang ke rumahnya selepas mengambil kedua-dua suspek dan anak perempuannya yang berusia 9 tahun di pusat tuisyen di kawasan Desa Ilmu, Kota Samarahan.

Semasa mangsa dijerut dan ditikam, adik perempuan suspek sempat menjerit dan jeritannya mendapat perhatian jiran berhampiran rumah mangsa.

Kedua-dua suspek keluar dari kereta dan sempat melarikan diri.

Mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Kedua-dua remaja itu kini direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.