Tempoh tahanan reman ke atas suspek menikam bapa kandungnya yang tamat hari ini dilanjutkan sehingga 23 Julai ini untuk polis melengkapkan siasatan.

Lanjutan reman dikeluarkan Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Azmi selama tiga hari ke atas suspek.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, lanjutan tempoh reman itu bagi membolehkan pihak polis memperoleh keputusan ujian makmal kandungan alkohol dalam badan suspek.

Dalam kejadian sekitar pukul 2.45 petang Jumaat lalu, bapa suspek berusia 73 tahun itu ditemui pengsan di tepi jalan dengan kesan tikaman di bahagian di belakang leher, dada dan bahu sebelah kanan di kawasan Perindustrian Mergong, Alor Setar.

Sejurus menikam bapanya suspek turut menikam seorang lelaki yang menegur pebuatannya di kedai makan dekat Jalan Putra tidak jauh dari lokasi kejadian pertama.

Mangsa kedua berusia 67 tahun itu ditikam di bahu kiri dan kanan.

BACA: Gara-gara mabuk, lelaki bertindak menikam bapa sendiri

Suspek bagaimanapun melarikan diri sejurus selepas kejadian itu sebelum berjaya ditahan sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, tiga jam selepas kejadian.

Ketika ditahan, suspek berada dalam keadaan mabuk.

Dia kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar untuk tindakan lanjut.

Menurut Mohd Redzuan, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek berusia 20-an itu didapati positif dadah jenis Methapethamine.

Hasil semakan turut mendapati suspek memiliki tiga rekod kesalahan jenayah.

Mohd Redzuan berkata, pisau yang digunakan suspek turut dirampas untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.