Seorang renjer hutan yang sedang menjalankan Program '1st National Tiger Survey' dilaporkan hilang ketika pulang ke khemah induk di Hutan Simpan Yong, dalam kawasan Taman Negara, di sini, sejak sabtu lalu.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa Tarmizi Ahmad Japli, 30 tahun, yang bertugas di Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kota Bharu, Kelantan, dalam perjalanan pulang daripada menarik keluar kamera.

Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Sani Harul berkata, berdasarkan maklumat awal, ketika itu mangsa bersama seorang lagi rakannya melalui jalan sungai untuk pulang ke khemah induk.

"Bagaimanapun, rakannya mendapati Tarmizi yang mengikutinya di belakang telah hilang selepas terpisah. Kita baru mendapat laporan mengenai kejadian ini pada Selasa lalu dan mengerakkan pasukan untuk mencari mangsa," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Mohd Sani berkata, operasi menyelamat telah masuk hari kedua dan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terdiri daripada 10 anggota bomba, 13 Pasukan Gerakan Am dan 25 anggota Perhilitan.

"Operasi SAR memberi tumpuan kepada lokasi terakhir mangsa serta mencari beberapa petunjuk yang boleh digunakan untuk mengesan renjer berkenaan," katanya.