Seorang Senior Renjer Safari dari Bukit Gambang Safari Park cedera di muka dan kaki akibat bergelut dengan seekor beruang jantan kira-kira 12 tengah hari semalam.

Menurut kenyataan akhbar Jabatan Komunikasi, Bukit Gambang Safari Park, Renjer Ishak Rashid, 51, yang berasal dari Kedah, kini berada dalam keadaan stabil dan sedang berehat.

"Kami tidak mahu dia diganggu, kami percaya beliau masih dalam keadaan terkejut setelah melalui insiden ini. Kejadian ini juga tidak boleh dijangka kerana beruang ini merupakan haiwan liar," menurut kenyataan tersebut.

Kejadian berlaku semasa Ishak, yang ditugaskan menjaga haiwan berkenaan sejak lima tahun lepas, menjalankan rutin harian pembersihan sangkar beruang.

Penyelak pintu pagar telah terbuka akibat gegaran daripada beruang tersebut manakala kunci pendua pula yang merupakan prosedur keselamatan, tidak dipasang atas kekhilafan, jelas kenyataan itu.

Sehubungan itu, pihak pengurusan akan mengkaji semula prosedur keselamatan supaya aspek keselamatan diambil berat oleh semua pihak bagi mengelak peristiwa itu daripada berulang.

Laporan juga dibuat kepada Polis Bantuan yang menjaga di kawasan itu dan kejadian itu juga telah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.

-- BERNAMA