Pengurus restoran nasi kandar ayam merah atau lebih dikenali sebagai ‘nasi ganja Ipoh’di Jalan Yang Kalsom di sini, Mohd Nihmathullah Syed Mustafa, hari ini menafikan sekeras-kerasnya wujud najis manusia dalam masakan di restoran itu.

‘Semua costumer tahu (mengenainya),seluruh Malaysia tahu, (apa yang dipaparkan) di Facebook tiada kena mengena (dengan kami), itu satu salah faham.' tegasnya.

Dakwaan itu menurutnya merupakan satu fitnah yang bertujuan menjejaskan perniagaannya.

'Kenapa cemburu selepas 55 tahun saya berniaga di sini? Adakah kita buat najis kita masak?, nasi ini kita makan sendiri juga. Di sini bukan sahaja costumer, VVIP, VIP seperti presiden dari Singapura, (pengunjung) Thailand, Australia yang datang. Bukan nama kita sahaja yang rosak, (nama) Perak juga rosak’ katanya.

Sambil menegaskan penutupan selama dua minggu sehingga 28 Nov itu atas faktor kebersihan, beliau berkata pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut mendakwa najis terbabit untuk disalut di sekeliling periuk.

"Kalau ada bukti (saya berbuat demikian) keluarkanlah...," katanya.

Beliau berkata restorannya dijangka beroperasi semula Ahad atau Isnin ini selepas Jabatan Kesihatan melakukan pemeriksaan susulan.

Restoran terbabit diarah tutup selama dua minggu bermula semalam kerana gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan.

Notis perintah tutup premis yang dikeluarkan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah Kinta Abdul Rahman Ismail, dibuat mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.