KUALA LUMPUR: Tidak dinafikan pandemik COVID-19 memberikan memori yang signifikan bahkan melekat kuat dalam pemikiran rakyat. Tempias hebat itu turut dirasai dalam landskap pendidikan negara khususnya proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Belum pernah ada dalam sejarah, sesi persekolahan dan kuliah ditangguhkan dalam tempoh agak lama. Justeru, tidak dinafikan COVID-19 merupakan agen transformasi dan pemangkin kepada pelaksanaan pembelajaran secara maya dengan radikal.

Namun, keraguan keberkesanan pelaksanaan pembelajaran maya terus menjadi bualan apabila faktor jurang digital diambil kira, iaitu mereka yang berada di bandar dan luar bandar, selain perbezaan taraf ekonomi rakyat.

Baru-baru ini, tular video memaparkan seorang pelajar perempuan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin, yang memanjat pokok untuk mendapatkan capaian Internet bagi menduduki peperiksaan dalam talian.

Video berkenaan menggemparkan banyak pihak di seluruh negara kerana mendedahkan tahap capaian Internet dan telekomunikasi di sesetengah kawasan pedalaman di negara ini.

Hikmahnya, perkara tersebut membuka mata kita untuk menilai semula kandungan pendidikan secara keseluruhan seterusnya mengaplikasikan teknologi sebaiknya selari peredaran zaman.

Teknologi PdP merupakan suatu proses yang kompleks dan bersepadu melibatkan manusia, pemikiran, prosedur, peralatan dan organisasi untuk menganalisis masalah dan bentuk, selain menilai serta menguruskan penyelesaian kepada masalah bagi memastikan pembelajaran mencapai matlamat yang terkawal.

COVID-19 memberikan cabaran hebat dan mengubah suasana PdP negara. Capaian Internet yang baik diperlukan bagi memudahkan pelajar mengakses pengajaran dan tugasan yang diberikan.

Namun, mampukah capaian Internet yang sedia ada mencakupi semua kawasan termasuk mereka yang tinggal di luar bandar atau pedalaman? Apakah hala tuju PdP perlu dilihat semula agar tidak tersasar dan seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memberi tumpuan terhadap pembangunan murid secara holistik?

Dan sejauh manakah COVID-19 mempercepatkan revolusi teknologi sistem pendidikan negara?

Ikuti diskusi dan pembahasan secara mendalam bersama panel kami menerusi webinar AWANI - The New Normal Series S04 membincangkan isu “COVID-19: Mempercepatkan Revolusi Teknologi Pengajaran dan Pembelajaran” pada 30 Jun 2020.

Daftar sekarang di events.astroawani.com
knologi pendidikan ialah satu sistem yang meliputi alat dan bahan media, organisasi yang digunakan secara terancang bagi menghasilkan kecekapan dalam pengajaran dan keberkesanan dalam pembelajaran.