Ribuan pengguna perkhidmatan televisyen haram di Asia telah kehilangan servis itu ekoran tindakan penguatkuasaan terhadap rangkaian yang beroperasi melalui peranti penstriman haram (ISD).

Selepas serbuan di Thailand, dianggarkan 30,000 pengguna servis dari Singapura, Hong Kong, Vietnam, Indonesia dan negara-negara lain kehilangan servis itu walaupun telah membayar jumlah yang besar untuk perkhidmatan “Expat.tv”.

Pihak berkuasa yang menutup servis itu turut menahan dua warganegara Britain dan seorang warganegara Thailand yang merupakan pengendali perkhidmatan haram itu.

Mereka turut merampas barangan daripada pengendali-pengendali tersebut.

Di Malaysia, enam lelaki ditahan dalam serbuan di sekitar Kuala Lumpur dan Johor ekoran kes rangkaian peranti penstriman haram.

Persatuan TV berbayar rantau Asia, CASBAA, memuji tindakan polis yang menangkap pengendali-pengendali haram tersebut.

Ketua Pegawai Polisi CASBAA, John Medeiros berkata sindiket-sindiket jenayah yang menjual ISD telah menipu ramai pengguna yang mempercayai perkhidmatan mereka adalah sah.

“Ia tidak sah. Sesiapa sahaja membeli kotak IPTV haram mempunyai risiko kehilangan wang mereka tanpa amaran apabila rangkaian itu dipotong,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CASBAA, Christopher Slaughter berkata dalam industri televisyen, termasuk pencipta semua genre kandungan TV dan juga syarikat-syarikat pengedaran seperti Astro, PCCW, dan Visions True ingin tindakan penguatkuasaan terhadap rangkaian ISD diteruskan.

"Adalah penting bagi pengguna untuk memahami sekiranya pengaturcaraan televisyen yang ditawarkan adalah terlalu bagus, maka ia mungkin tidak sah.

"Wang yang dilaburkan ke dalam ISD mempunyai risiko untuk hilang pada bila-bila masa,” katanya.

Tambahnya, kotak ISD pengguna juga berisiko dijangkiti malware apabila digunakan bersama rangkaian di rumah.

Penyelidik di United Kingdom turut mendapati mendapati peti ISD mengimport virus yang membolehkan penggodam mengakses semua peranti pada rangkaian rumah yang boleh menyebabkan kecurian data peribadi, penipuan kad kredit atau ditahan sebagai tebusan (ransomware).