Pengusaha pusat semaian bunga ros di Cameron Highlands terpaksa membuang 15,000 pasu bunga ros sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

Wong Lee Chiat, pengurus ladang bunga ros YG Park Sdn Bhd berkata, pihaknya terpaksa menampung kerugian RM20,000 hingga RM30,000 tanpa memasukkan kos buruh, apabila membuang pokok bunga ros itu yang sudah mencapai tahap matang untuk dijual bagi memberi ruang kepada pokok baharu.

Beliau berkata, ladang yang berusia kira-kira 30 tahun itu lazimnya dapat menjual 6,000 hingga 7,000 pasu bunga ros setiap minggu di seluruh negara, selain dieksport ke negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Brunei Darussalam.

Kini dengan PKP dan tiada pelancong yang datang ke Cameron Highlands, beliau kini terpaksa belajar menggunakan internet untuk memasarkan produk bunga rosnya secara dalam talian, katanya kepada Bernama.

Untuk permulaan,Wong yang berkelulusan ijazah dalam sains pertanian, telah mula memasarkan pokok-pokok bunga rosnya melalui laman Facebook dan whatsapp bagi menyelamatkan ribuan pokok bunga rosnya yang sudah mencapai tahap matang.

"Hanya dengan beberapa ratus ringgit, pelanggan boleh mendapat 22 pasu bunga ros dengan pelbagai warna," katanya yang telah bersama syarikat itu sejak 12 tahun lepas.

Beliau berkata maklumat yang disebarkannya dalam Facebook dan Whatsapp kini mendapat reaksi positif, "saya gembira ada pelanggan sekitar Cameron Highlands membuat tempahan melalui WhatsApp."

"Semalam saya buat posting dalam akaun Facebook, banyak mesej masuk selepas mengetahui promosi yang saya buat," katanya.

Walaupun berhadapan permintaan yang tidak menentu berikutan wabak COVID-19, Wong tetap positif dalam meneruskan usahanya menyemai dan menanam pokok bunga ros terutama untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

"Kita biasa buat persiapan hari raya Aidilfitri dengan penanaman pokok baharu... semua pokok perlu disediakan lebih awal, beberapa bulan sebelum perayaan... tapi kalau 'lockdown' juga, kita tidak tahu nak buat apa," katanya.

-- BERNAMA