Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Pulau Pinang menaikkan bendera merah di persisiran pantai negeri itu sebagai tanda amaran kepada orang awam, khususnya pelancong susulan amaran ribut tropika Pabuk.

Tanda peringatan itu dinaikkan sebagai peringatan berikutan keadaan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam dan laut bergelora di kebanyakan kawasan pantai.

Pengarah APM negeri, Kolonel Pang Ah Lek yang menganggotai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri ketika dihubungi berkata, selain tanda amaran pihaknya juga melakukan pemantauan dan rondaan di sepanjang kawasan pantai termasuk menara penyelamat pantai di Pantai Miami di Batu Feringghi.

Katanya, angin kencang dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer direkodkan di kawasan pantai.

Manakala paras air laut juga dikategorikan sebagai berbahaya dengan ombak sehingga tiga meter.

Dalam pada itu, APM juga menasihatkan orang ramai agar menjauhi dan tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan pantai di negeri berkenaan, khususnya di Batu Feringghi.

Pengusaha aktiviti sukan air juga dinasihatkan agar tidak membawa pengunjung ke laut sebagai langkah keselamatan.

Pesisir pantai di Pulau Pinang antara yang terjejas akibat ribut tropika Pabuk yang turut menyebabkan hujan lebat di seluruh negeri awal pagi tadi.

Namun tiada kejadian banjir dilaporkan setakat ini.