Hujan lebat berserta ribut petir yang melanda ibu negara pada petang Selasa menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air selain menyebabkan banyak pokok tumbang.

Malah, ia turut menyebabkan kesesakan jalan raya yang teruk bagi laluan keluar daripada pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Antara jalan yang terjejas teruk adalah Jalan Tun Razak, Jalan Ampang, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Kuching dan sekitarnya.

Antara kawasan yang paling teruk terjejas akibat kejadian seawal jam 4 petang itu adalah di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman.

Antara kenderaan yang mengalami kerosakan teruk akibat dihempap pokok yang tumbang. - Media sosial

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad, berkata pihaknya sedang menyediakan perincian susulan bencana itu.

Jelas beliau, ribut dan angin kencang yang melanda IPP Bukit Aman menyebabkan lima batang pokok tumbang.

“Ia merosakkan tiga buah kereta Proton Preve pasukan dan lapan buah kereta pegawai dan anggota. Pagar elektrik kawasan IPP Bukit Aman juga telah rosak.

“Pokok tumbang di hadapan taska pula menyebabkan kerosakan pada sebuah kereta pasukan Proton Preve dan dua kenderaan pegawai.

“Dahan jatuh di hadapan podium jalan utama ke lobi Menara 2 melibatkan sebuah lagi kereta pasukan,” kata beliau.

Sementara itu, bangunan yang mengalami kerosakan termasuk pada bahagian bumbung taska, kerosakan bahagian depan Bangunan Unit Penyelenggaraan dan Elektrikal serta Unit Bangunan, serta dinding kaca di Menara 1 yang pecah.

Dinding kaca yang pecah akibat angin kencang. - PDRM

Antara kenderaan yang rosak teruk akibat dihempap pokok. - PDRM

Malang dalam ribut petir dan angin kencang. - PDRM

Pokok besar menghempap deretan kereta di kawasan parkir di ibu negara. - Media sosial

Sementara itu, Harian Metro melaporkan, sebanyak 14 kenderaan dilaporkan rosak akibat kejadian pokok tumbang susulan hujan lebat dan ribut di sekitar Lembah Klang, pada Selasa.

Memetik Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, pihaknya menerima enam laporan berhubung kejadian pokok tumbang.

Antara lokasi kejadian adalah di belakang Apartmen Putra Majestic (Jalan Ipoh), Arata Kondominium (Jalan Tunku), Institut Penyelidikan Perubatan (Jalan Pahang), Jalan Kolam Air 4, Bukit Jalil dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, BBP Jalan Tun Razak, BBP Jinjang dan BBP Bukit Jalil telah digegaskan ke lokasi bagi membantu pembersihan pokok tersebut.