Timbalan Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Rina Mohd Harun pada Jumaat dinamakan sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dalam Kabinet baharu kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau merupakan antara 'giant killer' pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu apabila memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa dengan menumbangkan calon Barisan Nasional (BN) dan penyandang kerusi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang juga bekas menteri kewangan kedua serta Mohamad Noor Mohamad dari PAS.

Beliau mula aktif di arena politik negara sejak 2002 sebagai Ketua Puteri UMNO Bahagian Sepang selain pernah memegang beberapa jawatan dalam Puteri UMNO termasuk Exco Puteri UMNO Malaysia pada 2009 sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tahun lepas.

Ketua Srikandi Bersatu itu juga aktif melibatkan diri bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

BACA: PM umum 9 lagi menteri Kabinet, Azmin, Maszlee Malik antara tersenarai

Dibesarkan di Jalan Gurney di sini, Rina menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Datuk Keramat 1 sebelum melanjutkan pendidikan ke peringkat menengah di Sekolah Tun Fatimah, Johor Baharu.

Rina mempunyai Diploma Pengajian Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Kewangan dan Perbankan dari Northwood University, Michigan, Amerika Syarikat.

Beliau pernah berkhidmat di sektor perbankan.

-- BERNAMA