MIDF Research menjangka ringgit Malaysia diniagakan pada paras RM4.15 berbanding dolar AS pada penghujung 2019 memandangkan penurunan harga minyak mentah Brent tidak memberi sokongan kepada mata wang tempatan itu.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata penurunan kadar oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) yang akan membawa aliran masuk modal ke pasaran sedang pesat membangun termasuk Malaysia, kedudukan fiskal kerajaan yang lebih baik dan permintaan domestik tinggi hasil daripada penurunan kadar dasar semalaman (OPR) dan pertumbuhan ekonomi kukuh, akan membantu memberi sokongan kepada ringgit.

"Kami menjangka ringgit berada pada purata RM4.15 bagi setiap dolar AS pada 2019. Setakat ini bagi tahun ini, ringgit berada pada purata RM4.13 bagi setiap dolar AS," kata MIDF Research dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Mengenai penurunan OPR, firma penyelidikan itu berkata ia dijangka dapat meningkatkan permintaan domestik.

MIDF Research berkata, penurunan 25 mata asas OPR, selain tekanan inflasi rendah dan pasaran buruh yang stabil akan terus menyokong penggunaan dan pelaburan swasta dalam separuh kedua 2019.

Bagaimanapun, ia berkata, penggunaan swasta, terutamanya dalam suku ketiga 2019 dijangka menerima kesan daripada asas tinggi tahun lepas berikutan tempoh pelepasan cukai yang meningkatkan perbelanjaan isi rumah.

Justeru, pertumbuhan penggunaan swasta dijangka perlahan pada separuh kedua 2019 daripada 7.7 peratus tahun ke tahun yang dicatatkan pada separuh pertama 2019.

"Kami menjangkakan penggunaan swasta meningkat sebanyak 7.5 peratus tahun ke tahun pada 2019.

"Memandangkan kurangnya tekanan daripada bahagian domestik, kami menjangkakan Bank Negara Malaysia mengekalkan OPR pada 3.00 peratus pada 2019.

"Bagaimanapun, keadaan luaran yang semakin tidak menentu dengan lebih banyak negara melakukan pengembangan dasar monetari boleh menjejaskan pendirian dasar monetari Malaysia," kata MIDF Research.

Sementara itu, firma penyelidikan itu berpandangan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang tinggi pada 2019 masih boleh dicapai.

Berdasarkan kepada perkembangan dan petunjuk semasa, ia mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2019, kali pertama diumumkan pada Disember 2018, pada 4.9 peratus.

"Sektor berasaskan komoditi, terutamanya perlombongan dijangka terus pulih apabila lapangan gas Kebabangan kembali kepada kapasiti penuh pada Ogos tahun ini. Pemulihan berterusan ini akan membawa kesan besar kepada ekonomi pada separuh kedua 2019 kerana ia melibatkan aktiviti tokokan nilai tinggi," kata MIDF Research.

Selain itu, ia berkata sektor pembinaan dijangka terus berkembang pada separuh kedua 2019 dipacu oleh projek-projek seperti Laluan 3 Transit Aliran Ringan (LRT3).

"Sumbangan Laluan Rel Pantai Timur akan terbatas tahun ini, tetapi lebih ketara bermula 2020, apabila kontrak bagi penjajaran baharu akan diberikan bermula tahun depan dan seterusnya," kata firma penyelidikan itu. - BERNAMA