Ringgit dijangka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan diniagakan antara RM4.45 dan RM4.48 minggu depan, memandangkan sentimen pelabur terjejas susulan jangkaan kenaikan kadar faedah AS.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Janet Yellen, telah memberi petunjuk bagi kenaikan kadar faedah seterusnya selepas data pekerjaan dan inflasi yang dikeluarkan pada Rabu lepas menunjukkan prestasi kukuh.

"Keputusan Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.00 peratus juga dilihat berpihak kepada kadar faedah rendah, dan ditambah dengan harga komoditi yang kurang memberangsangkan, ini akan menjadikan ringgit lebih rendah," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Hong Leong Research berkata ringgit mengukuh sebanyak 0.22 peratus minggu ke minggu kepada 4.4490 berbanding dolar AS namun rendah berbanding mata wang tujuh negara anggota G10 di tengah-tengah petanda pemulihan mampan harga minyak mentah.

"Kami menjangkakan ringgit rendah berbanding dolar AS minggu depan, memandangkan jangkaan pengurangan aktiviti pasaran menjelang cuti sambutan Tahun Baharu Cina akan mengekang sokongan belian.

"Bagaimanapun mata wang tempatan akan masih meningkat sekiranya harga minyak mentah terus pulih dan dolar AS menyusut, namun kami berpendapat kenaikan adalah sederhana," menurut firma penyelidikan itu.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan tinggi pada 4.4450/4480 berbanding dolar AS daripada 4.4600/4640 pada Jumaat minggu lepas.

Nota tempatan juga ditutup kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain kecuali pound.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1112/1135 daripada 3.1243/1282 Jumaat minggu lepas, selain itu kukuh berbanding yen kepada 3.8619/8648 daripada 3.8898/8949 dan naik berbanding euro kepada 4.7321/7358 daripada 4.7468/7524.

Nota tempatan bagaimanapun susut berbanding pound kepada 5.4625/4679 daripada 5.4439/4497 sebelum ini.

-- BERNAMA