Ringgit tidak berubah berbanding dolar AS dalam sesi awal hari ini berikutan peniaga memutuskan untuk kekal tidak memasuki pasaran, berikutan data ekonomi yang tidak menggalakkan dari Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

Pada 9.17 pagi, unit tempatan berada pada 4.3100/3200 berbanding dolar AS daripada 4.3100/3190 semasa ditutup semalam.

Pedagang berkata peniaga menunggu lebih banyak petunjuk mengenai pergerakan mata wang sebelum mereka membuat langkah seterusnya, susulan data perkilangan yang lemah dari kedua-dua negara tersebut.

Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (IPP) Malaysia merosot kepada 31.3 pada April daripada 48.4 pada Mac, terendah sejak permulaan kaji selidik, berikutan sentimen dijejaskan oleh cabaran COVID-19.

Pesanan kilang AS, sebaliknya, menunjukkan kemerosotan pada Mac, jatuh sebanyak 10.3 peratus.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain, kecuali euro, naik kepada 4.7026/7153 daripada 4.7138/7254.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0453/0534 daripada 3.0427/0501, rendah berbanding yen kepada 4.0443/0548 daripada 4.0363/0467 dan merosot berbanding pound kepada 5.3703/3836 daripada 5.3603/3733.

-- BERNAMA