Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) diminta untuk memikirkan semula rancangannya memilih utara semenanjung sebagai tapak projek perintis penanaman ketum bagi tujuan eksport.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pihak kementerian mendapati masalah pengambilan air ketum dalam kalangan pelajar di utara semenanjung adalah serius.

"Mungkin Pengerusi Risda melihat perkara ini dari sudut perniagaan. Tetapi saya pelihat dari segi pelajar-pelajar sekolah yang terlibat dalam penyalahgunaan minuman berasaskan daun ketum.

"Daun ketum itu sendiri sebenarnya tiada apa-apa. Kalau tak dimasak dalam air dan dicampur pil-pil yang berbahaya, daun itu sendiri tidak menjadi masalah," katanya selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri pihak kementerian di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS), Serdang, tengah hari tadi.

Mahdzir berkata walaupun pemilikan daun ketum tidak melanggar sebarang undang-undang, penggunaan yang salah boleh membawa padah.

"Saya harap mereka (Risda) pilih tanaman lain. Kalau mahu komersialkan pun pilih tanaman lain sahaja sebab ia mengundang masalah," katanya.

Selasa lalu, Pengerusi Risda, Datuk Zahidi Zainul Zabidin berkata pihaknya mendapat permintaan tinggi untuk membekalkan ketum daripada farmasi di Amerika Syarikat dan Eropah.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan hasrat Risda untuk memulakan projek tanaman ketum untuk eskport dengan projek perintis dibuat di negeri-negeri utara.