TAHUKAH anda impak pandemik ke atas sesebuah ekonomi bergantung kepada struktur ekonomi sesebuah negara tersebut? Biar saya jelaskan dengan mengaitkan dengan pandemik COVID-19.

Pertama, kita kena fahami pasaran buruh adalah salah satu saluran utama impak COVID-19 kepada ekonomi. Buruh adalah merupakan salah satu input utama yang digunakan dalam proses pengeluaran oleh industri selain daripada bahan mentah dan barang modal (capital goods). Jadi, industri berintensifkan buruh akan lebih berisiko tinggi akibat COVID-19.

Kedua, impak ekonomi oleh COVID-19 juga bergantung kepada tahap integrasi atau kesalingbergantungan antara industri. Kesalingbergantungan merujuk kepada hubungan penjualan dan pembelian barangan dan perkhidmatan di antara satu industri dengan industri yang lain di sepanjang rantaian bekalan. Semakin tinggi atau kuatnya kesalingbergantungan ini, maka semakin tinggi lah risiko ekonomi akibat COVID-19 yang perlu dihadapi oleh sesebuah ekonomi.

Perhatikan contoh ini. Jika pekerja industri pemprosesan tepung dijangkiti oleh COVID-19, kuantiti pengeluaran tepung akan terjejas disebabkan oleh pengurangan bilangan pekerja. Pengurangan kuantiti pengeluaran tepung bermakna pengeluaran industri-industri lain yang menggunakan tepung sebagai bahan mentah mereka seperti perniagaan kek, roti dan perhotelan akan turut terjejas. Akibat, pekerja di industri perniagaan kek, roti dan perhotelan turut terjejas.

Jadi, dua ciri-ciri struktur ekonomi yang mempengaruhi magnitud impak sesuatu pandemik iaitu industri berintensifkan buruh dan kesalingbergantungan yang tinggi antara industri-industri di dalam ekonomi. Jika tahap kesalingbergantungan tinggi tetapi industri yang terkesan berintensifkan modal, risiko impak COVID-19 dijangka tidak lah tinggi.

Bagaimana pula dengan struktur ekonomi Malaysia? Adakah kita berisiko tinggi? Berdasarkan kajian-kajian saya, ekonomi kita tidaklah berisiko tinggi akibat pandemik jika diuruskan dengan baik. Walaupun kebanyakkan industri-industri kita masih berintensifkan buruh tetapi tahap kesalingbergantungan antara industri-industri adalah sederhana. Ini mengurangkan risiko “penularan penyakit ekonomi” akibat pandemik.

Sasaran kita adalah untuk menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi. Ekonomi negara-negara maju mempunyai tahap kebergantungan antara industri yang tinggi. Untuk mengorak langkah ke hadapan, negara memerlukan kepada transformasi ekonomi ke arah industri berintensifkan modal agar risiko pandemik dapat dikurangkan.



* Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari adalah pemegang ijazah PhD daripada University of Groningen, the Netherlands. Beliau merupakan pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, UPM.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Universiti Putra Malaysia dan Astro AWANI.