Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini menempelak kenyataan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang mendakwa kerajaan Persekutuan berhutang RM2.7 juta kepada Sarawak dalam bentuk hasil cukai pelancongan.

Sebaliknya, dalam satu kenyataan, Guan Eng mempersoalkan kembali situasi kewangan Sarawak.

“Kerajaan Negeri Sarawak masih berhutang lebih daripada RM2.5 bilion kepada kerajaan Persekutuan dengan tunggakan hutang hampir RM50 juta.

“Memandangkan negeri Sarawak mempunyai rizab yang begitu besar, mengapa pula tidak langsaikan hutang kepada kerajaan Persekutuan?” soalnya.

Pada 4 Januari, portal berita dalam talian, Borneo Post Online melaporkan Abdul Karim berkata hutang cukai pelancongan kepada Sarawak berjumlah RM439,731 dari 1 September hingga 31 Disember 2017 dan RM2.32 juta dari Januari hingga September 2018.

Abdul Karim turut mendakwa kerajaan Persekutuan membayar hasil cukai pelancongan kepada Sabah, tetapi tidak kepada Sarawak.

Guan Eng menggelar kedua-dua dakwaan tersebut “tidak benar” dan “fitnah”.

“Kerajaan Persekutuan tidak memihak kepada mana-mana negeri dengan mengagihkan cukai pelancongan kepada negeri tertentu tetapi pada masa yang sama, tidak memberinya kepada negeri Sarawak.

“Setakat ini, tiada agihan cukai pelancongan pernah dilakukan oleh kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri,” katanya.

Guan Eng menambah dari segi undang-undang, cukai pelancongan merupakan hasil kerajaan Persekutuan dan negeri sebenarnya tidak ada hak untuk menerimanya.

Bagaimanapun, beliau dalam kenyataan yang sama berkata kerajaan akan menunaikan janjinya dalam Belanjawan 2019 dan mengagihkan 50 peratus daripada hasil cukai pelancongan kepada setiap negeri dalam suku pertama tahun ini.