Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa bantuan sejumlah RM10,000 akan disumbangkan kepada keluarga mangsa korban gempa di Sabah, khususnya merujuk kepada mangsa di Gunung Kinabalu.

Dalam sidang media di Liwagu tersebut, difahamkan bahawa jumlah tersebut merupakan sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi meringankan beban keluarga mangsa yang sedang menanggung kesedihan akibat kejadian bencana alam berkenaan.

“Sementara itu, wang bantuan sejumlah RM2,000 bakal diberikan kepada mangsa yang cedera manakala bagi yang selamat dan tidak cedera tetapi mengalami trauma akan mendapat RM1,000 seorang,” ujar beliau.

Berkenaan kerosakan pada bangunan dan harta kerajaan, Muhyiddin memberitahu sidang media bahawa terdapat 33 buah sekolah yang mengalami keretakan.

“Sama ada semua sekolah itu masih boleh digunakan atau sebaliknya, bergantung kepada hasil siasatan dan ujian yang akan dilakukan . Kita perlu tahu sama ada ia perlu diroboh dan dibina semula,” ujar beliau yang menyerahkan perkara itu kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Turut diperkatakan adalah tentang keadaan Masjid Daerah Ranau yang mengalamia kerosakan teruk. Sehubungan itu, Muhyiddin mengumumkan kerja pembinaan semula masjid berkenaan yang akan melibatkan kos RM8 juta.

Muhyiddin juga mengangkat peranan malim gunung yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat (SAR) sebagai wira. Golongan berkemahiran khas itu bakal menerima sumbangan khas daripada kerajaan.

Terdahulu, sidang media bersama Muhyiddin di Liwagu tersebut ditangguhkan seketika selama beberapa minit berikutan berlaku satu gegaran susulan.