Pejabat pensyarah di Fakulti Ekonomi, Universiti Malaya (UM) yang terbakar pada awal pagi Selasa akan dibaik pulih oleh kerajaan dengan kos sebanyak RM2 juta.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, proses baik pulih bangunan yang mengalami kemusnahan sebanyak 90 peratus dalam kebakaran itu dijangka mengambil masa empat bulan untuk disiapkan.

“Untuk sementara ini para pensyarah yang terjejas akan ditempatkan di kawasan sementara. Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan punca sebenar kebakaran kerana kita masih menunggu siasatan pihak bomba sehingga Jumaat ini,” kata beliau.

Maszlee berkata demikian kepada wartawan selepas mengadakan lawatan ke bangunan Pejabat Pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran UM, di sini pada Rabu.

Maszlee turut menyarankan pengurusan semua institut pengajian tinggi awam (IPTA) agar meningkatkan tahap keselamatan kebakaran terutamanya di kawasan kolej atau bangunan yang sudah lama.

Beliau berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-12, Kementerian Pendidikan telah meminta IPTA-IPTA seperti UM, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia (USM) meningkatkan serta memperbaiki pelan keselamatan kebakaran dalam universiti masing-masing.

Sementara itu, mengulas kejadian sekolah yang terjejas akibat rebut di Terengganu pula, Maslee berkata, pihak Jabatan Pendidikan Negeri telah mengambil maklum perkara itu semalam dan mengambil langkah untuk meninjau sekolah tersebut serta mengikut produser operasi standard yang ditetapkan.


BACA: Pejabat pensyarah Universiti Malaya musnah terbakar