Kritikan terhadap dana berjumlah RM20 juta bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan selain bagi mewujudkan persekitaran bagi projek kereta nasional ketiga dibidas oleh Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Beliau berkata, kritikan yang kononnya bahawa kerajaan akan menggunakan wang rakyat bagi projek kereta nasional adalah tidak tepat sama sekali selain disifatkan tohmahan "tidak cerdik".

Malah tegas Mohd Redzuan, tuduhan itu juga dilihat tidak berasas dan tidak masuk akal kerana kerajaan tidak mampu membina projek kereta nasional dengan hanya RM20 juta.

"Kemungkinan sesetengah pihak tidak faham bahawa dana tersebut bukan daripada wang pembayar cukai. Sebaliknya, ia adalah dana sedia ada bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan. Jadi, tak timbul isu kita nak membuat kereta sebenarnya.

"Dan apa yang disebutkan oleh individu-individu tertentu yang mengatakan kita nak menggunakan dana kerajaan untuk membangunkan projek kereta, itu adalah pendapat yang kurang cerdik.

"Kita bukan hendak membina kereta nasional dan kita tidak akan menggunakan duit rakyat. Itu pemahaman yang cetek. Kita guna geran yang telah disediakan untuk penyelidikan dan pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu dalam program Agenda AWANI yang dihoskan Timbalan Ketua Pengarang Astro AWANI, Kamarul Bahrin Haron.

Tambah Mohd Redzuan, penyelidikan dan pembangunan adalah sesuatu yang penting bagi mana-mana negara jika mahu bergerak ke hadapan.

“Saya mahu didik mereka ini bahawa tanpa R&D kita tidak akan mampu membangunkan negara. Ia adalah pelaburan masa depan negara dan kita tidak gunakan wang rakyat," katanya.