Kerajaan negeri Terengganu akan menyediakan peruntukan khas RM30 juta bagi mengurus dan membangun Tasik Kenyir, tahun depan.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata peruntukan itu amat bertepatan kerana Tasik Kenyir adalah salah satu lokasi tumpuan utama pelancong berikutan faktor keindahan semulajadi dan kepelbagaian flora serta fauna yang dimilikinya.

Beliau berkata peruntukan RM30 juta itu diperlukan dalam usaha menggalakkan ketibaan lebih ramai pengunjung ke kawasan tasik berkenaan, berbanding kehadiran 808,336 pelancong sepanjang tahun lepas.

"Selain itu, kerajaan negeri juga akan menaik taraf jalan penghubung di pulau-pulau peranginan dengan peruntukan RM3 juta. Ia selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Pulau-Pulau dan Taman Laut Terengganu yang akan mengekalkan aspek ekosistem serta pembangunan lestari di kawasan berkenaan," katanya pada pembentangan Bajet 2019 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kali Ke-14 pada Ahad.

Tasik Kenyir yang terletak di daerah Hulu Terengganu merupakan sebuah tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara dengan keluasan sekitar 38,000 hektar.

Ia terdiri daripada 340 buah pulau kecil dan merupakan sebahagian daripada pentadbiran Wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dengan tarikan utama seperti Taman Herba, Pusat Santuari kelah, Taman Orkid dan Air Terjun Lasir.

Selain itu Ahmad Samsuri turut mengumumkan peruntukan RM9.5 juta untuk pengurusan serta pembangunan Pulau Bidong sebagai pulau warisan negeri.

Peruntukan RM2 juta juga dicadangkan bagi tujuan penyelenggaraan dan menceriakan lokasi pelancongan di seluruh negeri di samping peruntukan RM4 juta untuk program keceriaan dan kebersihan bagi menjayakan Program Terengganu Bersih dan Ceria 2019.

Sementara itu ketika sesi soalan lisan, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri Ariffin Deraman berkata penerbangan Air Asia laluan Kuala Terengganu-Johor Bahru tidak akan dibatal, sebaliknya bakal ditambah menjadi lima kali seminggu, berbanding tiga kali seminggu sebelum ini.

"Perbincangan sedang dilakukan bersama syarikat itu (AirAsia) memandangkan ada banyak permintaan, malah syarikat itu juga bakal memperkenalkan laluan Kuala Terengganu-Pulau Pinang tidak lama lagi," katanya menjawab soalan daripada ADUN Seberang Takir Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkaitan status terkini penerbangan itu.

Katanya kerajaan negeri turut mensasarkan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke negara lain, antaranya ke Mekah dan Madinah (bagi mengerjakan umrah) serta China.

-- BERNAMA