Kerajaan Kelantan memperuntukkan sejumlah RM4.5 juta untuk membantu lebih 41,000 golongan janda atau armalah di Kelantan setiap tahun.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan Kelantan tidak meminggirkan golongan janda walaupun terdapat kisah-kisah luahan dan kedaifan golongan armalah yang sering kali dilaporkan media serta ditularkan di laman sosial.

Selain bantuan kewangan secara sekali pemberian melalui peruntukan RM4.5 juta itu, kerajaan negeri juga menyediakan khidmat latihan melalui pusat pembangunan wanita yang diwujudkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

"Kita bantu golongan janda atau armalah ini ikut kemampuan kita, sebab itu kita minta semua pihak terutama NGO, badan berkanun, korporat cuba lihat dan dekati mereka mungkin boleh bantu mereka termasuk memberikan zakat kepada mereka.

"Bukan kita sahaja bantu, MAIK pun bantu. Kita peruntukkan RM4.5 juta setiap tahun kepada mereka,” katanya.

Tambahnya, selain golongan armalah, orang kelainan upaya (OKU) turut dibantu yang mana sehingga kini lebih 30,000 OKU berdaftar direkodkan di Kelantan.

Kerajaan negeri juga mengalu-alukan badan korporat dan badan bukan kerajaan turut sama membantu golongan terbabit supaya mereka dapat keluar daripada garis kemiskinan dan dapat meningkatkan pendapatan keluarga.

Ahmad berkata demikian selepas merasmikan Pusat Latihan Wanita OKU dan Armalah di sini pada Isnin.