Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meluluskan peruntukan berjumlah RM40 juta kepada Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Kemasin Semerak (IADA) untuk melaksanakan projek pembangunan pertanian di negeri ini, tahun depan.

Pengarah IADA, Mohamad Kaberi Abd Ghani berkata jumlah itu merupakan peruntukan terbesar kepada agensi itu berbanding RM22 juta yang diluluskan untuk tujuan sama tahun ini.

"Petani di kawasan Bachok dan Pasir Puteh patut bersyukur kerana peruntukan tidak dipotong dalam Bajet 2017, malah ditambah hampir sekali ganda," katanya kepada pemberita selepas majlis Hari Bertemu Pelanggan agensi kerajaan itu, di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Bachok, Datuk Dr Ilias Hussain.

Mohamad Kaberi berkata peruntukan tersebut antaranya akan dibelanjakan bagi membangunkan 2,000 hektar kawasan tanaman padi di Sungai Yong dan 900 hektar sawah padi di Semerak Hilir di Pasir Puteh.

"Projek-projek itu akan dapat memberi faedah kepada lebih 2,200 petani di kawasan itu untuk meningkatkan pendapatan," katanya.

Beliau berkata kedua-dua kawasan itu akan dibangunkan dengan sistem pengairan yang lebih baik bagi memudahkan petani memperolehi air untuk sawah mereka.

Katanya pihaknya menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran hasil padi dari tiga hingga empat tan sehektar sekarang kepada lima hingga enam tan sehektar tahun depan. - BERNAMA