Masih ada RM5.96 bilion wang tidak dituntut dalam akaun amanah Kerajaan sehingga 31 Oktober tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz berkata 70 peratus daripada jumlah wang tersebut terdiri daripada urusan perbankan dalam akaun simpanan semasa dan tetap, 18 peratus melibatkan tuntutan insurans dan baki 12 peratus adalah urusan-urusan yang lain.

Menurut beliau, pelbagai kempen telah dibuat oleh Kerajaan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat supaya memeriksa status akaun mereka.

"Mulai suku kedua tahun hadapan Electronic Government Unclaimed Money Information System (EGUMIS) akan diaktifkan bagi memudahkan rakyat memeriksa status masing-masing," kata Othman.

Beliau menjawab soalan daripada Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) yang bertanyakan tentang jumlah terkini wang tidak dituntut dan apakah langkah yang dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang wang ini.