Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah membelanjakan RM76 juta bagi kerja menaiktaraf pencawang dan telekomunikasi di kawasan terjejas banjir seluruh negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata langkah itu bagi memastikan sistem telekomunikasi tetap beroperasi seperti biasa ketika banjir.

Katanya, kerja-kerja tersebut telah siap dilakukan dengan semua syarikat Telco mengambil tindakan segera.

"Tindakan segera kita ialah meninggikan kedudukan kotak alat elektronik di setiap pencawang atau 'base station' bagi mengelakkan ia ditenggelami air banjir.

"Di samping itu, menambah bekalan kuasa di setiap kawasan termasuk luar bandar kepada paras ketinggian yang sesuai," kata beliau.

Ahmad Shabery bercakap kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama lebih 300 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parlimen Kemaman di Resort World Kijal dekat sini pada hari Sabtu.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar; Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zulkifli Salleh, dan Pengarah JASA Terengganu Adli Kesah.

Menteri itu berkata pihaknya turut memastikan beberapa keperluan lain dinaiktaraf seperti bekalan set generator dan sistem bekalan elektrik alternatif untuk setiap pencawang terbabit.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Shabery berkata sebanyak tiga pusat pendaratan helikopter telah disediakan di tiga Pangkalan Hadapan di Kemaman.

Ia menelan belanja RM500,000 bagi ketiga-tiga kawasan terjejas teruk banjir yang terputus hubungan sama sekali apabila tiba musim banjir.

Pada majlis tersebut, sebanyak 17 buah bot berukuran 16 kaki ditambah oleh Ahmad Shabery yang merupakan Anggota Parlimen Kemaman untuk tujuan memindahkan mangsa banjir ke pusat-pusat pemindahan.

Bantuan persiapan tersebut bernilai kira-kira RM200,000 itu turut disediakan bersama enjin berkapasiti 15 kuasa kuda untuk setiap satu bot.

Sebelum ini kerajaan negeri Terengganu telah menyediakan tambahan sebanyak 40 bot bagi tujuan memindahkan mangsa banjir.

"Kita pilih enjin yang lebih besar sebab kalau kita hanya guna enjin berkapasiti 5 kuasa kuda, sudah pasti bot itu boleh hanyut dibawa arus deras," katanya.

Selain itu bagi menghadapi persiapan banjir yang dijangka berlaku pertengahan Disember ini, pihak parlimen Kemaman turut menyediakan 10,000 beg tidur yang lebih efisyen penggunaannya bagi menggantikan tilam.