Seorang gadis berusia 23 tahun berputih mata apabila kerugian RM 94,230 selepas diperdaya sindiket Macau Scam, baru-baru ini.

Mangsa yang sedang menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat di Paka dihubungi oleh seorang lelaki yang mendakwa dirinya pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kemudian disambungkan ke beberapa talian lain mendakwa mereka adalah pihak polis.

Mangsa akhirnya terpedaya dengan tawaran penyelesaian rekod jenayah dan waran tangkap yang diperkatakan, sekali gus mendorong gadis malang itu melakukan transaksi mencecah nilai hampir RM100,000.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Baharudin Abdullah berkata modus operandi yang dilakukan suspek berjaya memperdaya mangsa dengan mudah.

"Panggilan pertama diterima memaklumkan mangsa mempunyai satu akaun bank didaftarkan tanpa pengetahuannya yang melakukan transaksi hampir RM1.7 juta untuk tujuan jenayah dan pengedaran dadah.

"Mangsa disambungkan ke satu talian yang kononnya polis dari Bukit Aman dan dimaklumkan terdapat rekod jenayah atas namanya membabitkan pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.

"Talian kemudiannya disambungkan kepada seorang inspektor untuk penangguhan waran tangkap dan akhir sekali disambungkan kepada seorang perempuan bernama Maria yang kononnya dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia," katanya.

Beliau berkata, yakin dengan panggilan yang diterima, mangsa akhirnya membuat transaksi sebanyak RM10,000 kepada suspek.

"Mangsa turut memberi 16 digit yang tertera pada bahagian hadapan kad ATM.

"Selepas itu semakan penyata bank mendapati terdapat transaksi sebanyak RM94,230 dari akaunnya ke akaun tidak dikenali.

"Curiga dengan kejadian yang berlaku, mangsa membuat laporan polis," katanya.

Baharudin berkata, kes ini bukan kali pertama berlaku di daerah ini kerana sebelum ini dua pesara mengalami kerugian mencecah hampir RM300,000 akibat diperdaya panggilan palsu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.