RMK-11 perlu 'overhaul' ekonomi Malaysia menuju 2020

RMK-11 perlu 'overhaul' ekonomi Malaysia menuju 2020
Untuk mencapai sasaran, ekonomi Malaysia diunjur berkembang di antara 5 peratus hingga 6 peratus sepanjang tempoh RMK-11. -Gambar fail/pixabay.com
RANCANGAN Malaysia ke-11 (RMK-11) adalah rancangan pembangunan lima tahun yang bermula pada 2016 sehingga 2020.

Pada 18 Oktober ini, Kajian Separuh Penggal RMK-11 akan dibentangkan di Parlimen. Pembentangan ini dijangka menjadi perbincangan hangat dalam kalangan penganalisis dan orang awam atas dua sebab utama.

Pertama, rakyat ingin mengetahui di manakah kita berada pada ketika ini dan adakah sasaran yang ingin dicapai masih lagi relevan dalam keadaan ekonomi semasa.

Kedua, ia merupakan pembentangan pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang melibatkan dasar pembangunan negara.

Rakyat tertunggu-tunggu apakah kelainan dan arah tuju yang akan dibawa kerajaan PH.

Perlu diingatkan di sini bahawa sasaran yang ingin dicapai pada 2020 adalah tidak lagi realistik. Antara sasaran-sasaran utama ekonomi makro pada 2020 adalah seperti berikut:

• Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita sebanyak RM54,000
• Produktiviti buruh sebanyak RM92,300
• Peratusan pampasan pekerja kepada KDNK sebanyak 40 peratus
Untuk mencapai sasaran-sasaran tersebut, ekonomi Malaysia diunjur untuk berkembang di antara 5 peratus hingga 6 peratus di sepanjang tempoh RMK-11.

Untuk rekod, ekonomi bertumbuh pada kadar 4.2 peratus pada 2016 dan 5.9 peratus pada 2017.

Jika sasaran-sasaran di atas ingin dicapai pada 2020, ekonomi Malaysia perlu bertumbuh melebihi 6 peratus setahun.

Berdasarkan kedudukan ekonomi dan kewangan semasa kerajaan, dan persekitaran global, pertumbuhan tahunan melebihi 6 peratus untuk 2018, 2019 dan 2020 adalah mustahil.

Struktur dan prestasi ekonomi semasa bukan sahaja tidak mampu untuk mencapai sasaran tersebut malah lebih memburukkan apabila agihan kekayaan ekonomi tidak dikongsi secara sama rata dalam kalangan rakyat.

Terdapat beberapa indikator yang mengesahkan keadaan ini. Antaranya:

• Pertumbuhan ekonomi 2016 dan 2017 adalah memuaskan tetapi pecahan “pai” rakyat tidak berubah. Di mana peratusan pampasan pekerja kepada KDNK tahun 2016 dan 2017 adalah tidak berubah pada kadar 35 peratus.

• Pecahan peratusan pendapatan kumpulan isi rumah B40 telah berkurangan daripada 16.8 peratus tahun 2014 kepada 16.4 peratus tahun 2016. Sebaliknya peratusan pendapatan kumpulan isi rumah M40 dan T20 telah meningkat.

Selain daripada itu, terdapat dua lagi petunjuk ekonomi yang memberi isyarat jelas keperluan kepada reformasi ekonomi.

Pertama, Pertumbuhan KDNK yang tinggi tidak diterjemah kepada kos sara hidup yang lebih rendah. Rakyat masih terbeban dengan harga barang yang tinggi, terutamanya makanan, walaupun selepas ketiadaan GST.

Kedua, terdapat penyusutan sumbangan pendapatan daripada sumber pendapatan bergaji dan pendapatan bekerja sendiri.

Sumbangan kedua-dua sumber pendapatan ini menyusut daripada 81.0 peratus tahun 2014 kepada 78.6 peratus pada tahun 2016.

Berdasarkan analisis ini, jelas Malaysia perlu “overhaul” keseluruhan “enjin” ekonomi nya. Enjin yang sedia ada tidak mampu lagi untuk membawa kemakmuran ekonomi seperti yang diingini pada 2020.

Jika diteruskan, keselesaan penumpang iaitu rakyat akan terjejas dan berkemungkinan tidak sampai ke destinasi kerana 'masalah enjin'.

Sasaran untuk mencapai tahap negara berpendapatan tinggi perlu dianjak selepas mengambil kira proses “overhaul” ekonomi.

Apa yang paling penting di sini ialah kerajaan PH perlu meleraikan keseluruhan 'komponen enjin' bagi mengenal pasti kelemahan dasar-dasar terdahulu yang perlu kepada penambahbaikan.

Keutamaan pada ketika ini ialah memastikan dasar dan strategi baharu adalah tepat dan terarah kepada isu-isu utama yang berkaitan dengan sistem dan struktur ekonomi.

Pembentangan pada 18 Oktober ini akan menyaksikan sama ada enjin ekonomi Malaysia akan melalui proses “overhaul” yang sepatutnya. Atau adakah masih mengguna pakai 'enjin' yang sama dengan hanya menggantikan beberapa komponen sahaja.


Mohd Yusof Saari (Yusof) adalah pemegang ijazah PhD daripada University of Groningen, the Netherlands.

Beliau merupakan pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UPM dan juga Ketua Laboratori Kaedah Kuantitatif Analisis Dasar, Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, UPM.

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.

 


Tag: Rancangan Malaysia ke-11, pembangunan lima tahun, Kajian Separuh Penggal, wawasan 2020, Pakatan Harapan, KDNK, GST, PH


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.