Kementerian Pengangkutan memberi jaminan bahawa masa hadapan pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang bakal terlibat dengan Railway Network Access Agreement (RNAA) tidak akan terjejas.

Timbalan Menterinya, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata RNAA adalah projek usaha sama KTMB dengan Railway Assets Corporation (RAC) dimana akan menyaksikan penyerapan terus pekerja ke dalam anak syarikat milik KTMB.

Justeru, jelasnya, tiada seorang pun yang akan kehilangan pekerjaan pada masa hadapan.

“Kesemua pekerja yang terlibat dengan RNAA ini akan diserap masuk ke dalam anak syarikat milik KTMB.

“Malah, saya jamin gaji, faedah dan apa-apa kelebihan yang dinikmati sebagai pekerja KTMB ketika ini tidak akan hilang mahupun berkurangan.

“RAC adalah badan berkanun persekutuan manakala KTMB adalah syarikat milik penuh kerajaan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Menurutnya, Perjanjian RNAA adalah selari dengan klausa 89 Akta Keretapi 1991 untuk mengasingkan antara pengendali perkhidmatan keretapi yang mana diuruskan oleh KTMB, dan pemilikan, pengurusan dan penyelenggaraan segala aset-aset keretapi bakal diuruskan oleh RAC.

“Oleh itu tidak timbul persoalan bahawa RNAA akan menyebabkan KTMB diambil alih oleh pihak swasta,” ujarnya.

Beliau sekaligus menyangkal tuduhan bahawa akibat daripada RNAA itu, harga tiket dan perkhidmatan lain yang ditawarkan oleh KTMB akan meningkat.

“RNAA tidak akan menyebabkan harga tiket dan perkhidmatan lain yang disediakan oleh KTMB meningkat.

“Tambahan pula, tuduhan yang mengatakan perjanjian ini bakal menyebabkan KTMB semakin terdedah kepada ketirisan dan kronisme adalah tidak betul.

“Sebaliknya, perjanjian ini berupaya untuk mengurangkan ketirisan dan kronisme kerana ia menjadikan pengurusan setiap syarikat ini lebih fokus kepada bidang tugas masing-masing,” katanya.