Mahkamah Majistret Samarahan hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 12 tahun serta tiga sebatan terhadap seorang lelaki atas kesalahan merogol adik kandungnya di sebuah rumah tidak beralamat di Kampung Sungai Barie, Serian pada 7 September lepas.

Majistret Afidah Abdul Rahman mengarahkan hukuman dijalankan serentak, bermula tarikh ditangkap iaitu 19 September lalu bagi dua pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan gangguan seksual dengan meraba dan mencium mangsa yang juga merupakan adiknya dalam kejadian pukul 1 pagi pada 7 September lalu.

Pada pertuduhan kedua, tertuduh telah didakwa melakukan sumbang mahram ke atas adiknya pada waktu dan hari yang sama.

Berdasarkan fakta kes yang dibacakan, tertuduh telah mengajak adiknya yang berusia 14 tahun itu (mangsa) ke ruang tamu untuk menonton televisyen dan ketika mangsa tertidur, tertuduh telah bertindak merogolnya.

Mangsa cuba melawan daripada dirogol namun telah diugut akan dicederakan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Tengku Najihah Tengku Zahari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA